Tawassul
yang disyariatkan dan tawassul yang dilarang
Februari 15, 2013
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Soalan: Saya tidak pasti tentang
tawassul. Bertawassul ini boleh atau tidak? Kalau boleh, bagaimana caranya?
Jawapan:
Pertama sekali kita perlu tahu apa
maksud tawassul. Tawassul berasal dari perkataan Arab وسيلة (wasiilah:
perantara). Tawassala-yatawassalu-tawassulan. Yakni menjadikan
sesuatu sebagai perantara di dalam kita berdoa. Kita tetap meminta daripada
Allah, tetapi kita meletakkan perantara di tengah.
Di sana ada tawassul yang masyru’
(syar’i) dan ada tawassul yang mamnu’ (dilarang).
Tawassul yang disyariatkan
Tawassul yang disyariatkan oleh
Allah dan Rasul adalah berdalilkan hadis-hadis Nabishallallahu’alaihiwasallam tentang
bagaimana baginda mengajarkan kepada kita cara bertawassul.
Pertama, bertawassul dengan menggunakan nama-nama Allah Subhanahu
wa Ta’ala. Firman Allah di dalam Al-Quran,
وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى
فَادْعُوهُ بِهَا
“Dan Allah memiliki nama-nama yang
indah, maka berdo’alah kepada-Nya dengan nama-nama-Nya tersebut.” (surah
Al-A’raf: 180)
Contoh berdoa dengan nama Allah
adalah kita meminta dengan lafaz “Ya Ghaffar, ighfir li”. Wahai
yang Maha Pengampun, ampunilah aku. Iaitu dengan menyeru Nama Allah terlebih
dahulu; Ya Razzaq, kurniakanlah rezki kepadaku, Wahai yang Maha Pengasih,
kasihilah aku. Ya Rahman, Ya Rahim, irhamni – Wahai yang Maha Pemurah, wahai
yang Maha Pengasih, kasihanilah aku.
Sebut Nama-nama Allah terlebih
dahulu, jadikan nama-Nya sebagai perantara untuk kita berdoa dan memohon atau
meminta sesuatu daripada-Nya. Itu salah satu kaedah tawassul yang syar’i.
Kedua, bertawassul dengan doa orang saleh yang masih hidup.
Iaitu berjumpa dengan orang-orang saleh yang amal ibadatnya bertepatan dengan
Al-Quran dan As-Sunnah, para ulama dan sesiapa sahaja orang saleh yang masih
hidup dan meminta orang yang shaleh itu mendoakan untuk kita.
Perkara ini berlaku di dalam
petunjuk Nabi SAW di mana para sahabat meminta agar Nabi berdoa. Adapun setelah
kewafatan Nabi shallallaahu ’alaihiwasallam, Umar Al-Khatthab radhiyallaahu’anhu pergi
bertemu dengan Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi dengan Umar
menyatakan bahawasanya “Dulu ketika Nabi masih hidup, kami ber-tawassul
dengan Nabi. Sekarang apabila Nabi telah tiada, orang yang paling mulia di
kalangan kami adalah kamu, wahai Abbas. Maka ber-doalah kamu untuk kami.” (lihat
Sahih Bukhari)
Peristiwa ini terjadi ketika Madinah
dilanda kemarau panjang. Umar meminta Abbasradhiyallaahu’anhu berdoa
dan Abbas radhiyallaahu ’anhu pun berdoa. Tidak lama setelah
itu, Allah pun menurunkan hujan kepada mereka.
Lagi tentang kisah doa orang yang
saleh adalah peristiwa Uwais Al-Qarni. Nabishallallaahu’alaihiwasallam tidak
pernah berjumpa dengannya dan dia pun tidak pernah bertemu Nabi shallallaahu’alaihiwasallam.
Tetapi Nabishallallaahu’alaihiwasallam menceritakan tentang
keberadaan dan kewujudannya. Nabi menceritakan tentang ciri-cirinya kepada para
sahabat. Nabi menyuruh kepada sahabat,
sekiranya bertemu dengan Uwais, mintalah agar dia berdoa. Maka setiap tahun
pada musim haji para sahabat mencari Uwais bin Amir Al-Qarni melalui kabilah
yang datang dari Yaman untuk mengerjakan haji.
عَنْ أُسَيْرِ بْنِ جَابِرٍ قَالَ كَانَ عُمَرُ بْنُ
الْخَطَّابِ إِذَا أَتَى عَلَيْهِ أَمْدَادُ أَهْلِ الْيَمَنِ سَأَلَهُمْ
أَفِيكُمْ أُوَيْسُ بْنُ عَامِرٍ حَتَّى أَتَى عَلَى أُوَيْسٍ فَقَالَ أَنْتَ
أُوَيْسُ بْنُ عَامِرٍ قَالَ نَعَمْ قَالَ مِنْ مُرَادٍ ثُمَّ مِنْ قَرَنٍ قَالَ
نَعَمْ قَالَ فَكَانَ بِكَ بَرَصٌ فَبَرَأْتَ مِنْهُ إِلَّا مَوْضِعَ دِرْهَمٍ
قَالَ نَعَمْ قَالَ لَكَ وَالِدَةٌ قَالَ نَعَمْ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يَأْتِي عَلَيْكُمْ أُوَيْسُ بْنُ
عَامِرٍ مَعَ أَمْدَادِ أَهْلِ الْيَمَنِ مِنْ مُرَادٍ ثُمَّ مِنْ قَرَنٍ كَانَ
بِهِ بَرَصٌ فَبَرَأَ مِنْهُ إِلَّا مَوْضِعَ دِرْهَمٍ لَهُ وَالِدَةٌ هُوَ بِهَا
بَرٌّ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ فَإِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ
يَسْتَغْفِرَ لَكَ فَافْعَلْ فَاسْتَغْفِرْ لِي فَاسْتَغْفَرَ لَهُ
Dari Usair bin Jabir ia berkata:
Umar bin al-Khatthab jika datang sepasukan dari Yaman akan berkata: ‘Apakah di
antara kalian ada Uwais bin Amir’? (Demikian seterusnya) sampai datang Uwais.
Beliau bertanya: Apakah engkau Uwais bin Amir? Dia menjawab: Ya. Umar bertanya:
dari Murod, kemudian ke Qoron? Dia berkata: Ya. Umar bertanya: Apakah engkau
dulu memiliki penyakit (semacam) kusta kemudian sembuh, kecuali sebesar dirham.
Dia berkata: Ya. Umar bertanya: Apakah engkau memiliki ibu? Ia berkata: Ya. Umar berkata: Aku
mendengar Rasulullah shallallaahu’alaihiwasallam bersabda: Akan datang
kepada kalian Uwais bin Amir bersama sepasukan penduduk Yaman dari Murod
kemudian Qoron, dulunya dia memiliki penyakit (semacam) kusta kemudian dia
sembuh, kecuali sebesar dirham, dia memiliki ibu yang dia berbakti kepadanya. Kalau
dia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah perkenankan. Jika engkau bisa
meminta agar dia memohon ampunan untukmu, lakukanlah. Maka (wahai Uwais)
mohonkan ampun untukku. Kemudian Uwais memohonkan ampunan untuk Umar. (riwayat
Muslim)
Dalam riwayat lain, Nabi
memerintahkan kepada para sahabat secara umum : ”perintahkanlah dia agar
beristighfar untuk kalian.”
عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ خَيْرَ التَّابِعِينَ
رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ أُوَيْسٌ وَلَهُ وَالِدَةٌ وَكَانَ بِهِ بَيَاضٌ فَمُرُوهُ
فَلْيَسْتَغْفِرْ لَكُمْ
Dari Umar bin al-Khatthab beliau
berkata, “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah shallallaahu’alaihiwasallam bersabda,
Sesungguhnya sebaik-baik tabi’in adalah seorang laki-laki yang disebut Uwais,
dia memiliki ibu dan dia memiliki tanda putih. Maka perintahkanlah dia agar
beristighfar untuk kalian.” (riwayat Muslim)
Bertawassul dengan doa orang yang
saleh yang masih hidup, itu yang diajar oleh Nabi shallallaahu’alaihiwasallam.
Dan cara bertawassul dengan orang saleh yang masih hidup adalah melalui doanya,
bukan melalui jasadnya. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah menyatakan,
“Adapun yang dimaksud tawasul dengan
Nabi shallallaahu ’alaihi wa- sallam dalam perkataan para sahabatradhiyallaahu’anhum
adalah bertawasul dengan doa dan syafaat Nabi. Adapun tawasul
dengan doa dan syafaat sebagaimana yang dilakukan ‘Umar adalah bertawasul
dengan doa, bukan bertawasul dengan zat Rasulullahshallallaahu’alaihiwasallam.
Seandainya itu merupakan tawasul dengan zat beliau, maka tentu bertawasul
kepada Nabi shallallaahu’alaihiwasallam lebih utama daripada dengan
‘Abbas radhiyallaahu’anhu. Ketika mereka berpaling dari bertawasul dengan
Rasulullah shallallaahu’alaihiwasallam, namun mereka bertawasul dengan
‘Abbas, maka dari sini kita ketahui bahawa bertawasul dengan Nabi shallallaahu’alaihiwasallam hanya
berlaku ketika baginda masih hidup dan terlarang setelah wafatnya baginda.”
Ketiga, bertawassul dengan amalan saleh.
Iaitu bertawassul dengan amalan
saleh yang pernah kita lakukan. Hadis yang selalu dijadikan contoh adalah hadis
tiga orang lelaki yang terperangkap di dalam gua. Seorang berdoa kepada Allah
dengan mengatakan bahawa dia telah taat kepada ibu bapanya, seorang lagi
mengatakan dia hampir berzina tetapi dia tinggalkan zina kerana takutkan azab
Allah, orang yang ketiga pula berdoa dengan menyebut bahawa dia orang yang
amanah, memegang amanah yang diberikan kepadanya dan mengembalikan kepada
pemiliknya. Maka dengan amalan saleh itu mereka berdoa kepada Allah agar
dibukakan pintu gua yang tertutup sehingga memerangkap mereka di dalamnya.
Ketika orang pertama berdoa, batu
yang menutupi gua itu terbuka sedikit, sehinggalah cukup doa ketiga-tiga
mereka, barulah batu itu berbuka sehingga mereka dapat keluar daripadanya.
(lihat Sahih Bukhari)
Ini menunjukkan keberkesanan
bertawassul dengan amalan saleh, yakni menjadikan amalan saleh sebagai
perantara di dalam doa kita, kesannya itu cepat. Mudah-mudahan, insyaAllah.
Tiga jenis tawassul di atas adalah
tawassul yang syar’i.
Tawassul yang dilarang
Adapun tawassul yang dilarang ada
banyak. Antaranya meminta daripada berhala, pokok, binatang, memuja makhluk,
keterlaluan dalam meminta kepada makhluk sehingga lupa kepada Allah Subhaanahu
wa Ta’ala, meminta kepada makhluk dan percaya bahawa makhluk tersebut
mengabulkan permintaannya, dan tidak meminta kepada Allah.
Begitu juga bertawassul dengan orang
yang telah mati yang telah dibincang panjang oleh ahli ilmu. Seruan kepada
orang mati, seruan kepada Nabi Muhammadshallallaahu’alaihiwasallam sedangkan
baginda telah wafat. Mereka berdalilkan dengan peristiwa-peristiwa di mana
kesemuanya adalah daripada hadis-hadis dha’if dan tidak membawa pengertian
bahawasanya Nabi shallallaahu’alaihiwasallambertawassul dengan
Nabi-nabi yang telah wafat sebelumnya. Tidak ada pendalilan dan penghujahannya.
Hal ini dijelaskan oleh para ulama.
Ada satu kitab berkaitan dengan tawassul; Al-Tawassul Baina Masyru’i
wal Mamnu’ (Tawassul antara yang disyariatkan dan yang dilarang),
seingat saya ditulis oleh Syaikh Abdullah bin Abdul Hamid Al-Atsari.
Beliau membahaskan secara detil
penghujahan dan bantahan terhadap orang-orang yang berhujah dengan mengatakan
boleh bertawassul dengan orang yang telah mati dengan cara menyerunya.
Contohnya, menyeru “Ya Syaikh fulan bin fulan, doakan untuk kami…” dan mereka
ini mengharuskan bertawassul di tanah perkuburan orang saleh atau pun menyeru
di dalam majlis mereka dan menyeru dari tempat-tempat lain. Itu antara cara
yang mereka lakukan bertawassul dengan orang mati termasuk dengan Nabi shallallaahu’alaihiwasallam.
Hal-hal seperti ini tidak diamalkan
dan tidak dipraktikkan oleh sahabat-sahabat Nabiradhiyallaahu’anhu berasaskan
dan berdalilkan hadis-hadis dan riwayat-riwayat yang sahih yang jelas daripada
mereka, seperti mana perbuatan Umar bin Al-Khatthab yang disebutkan tadi, di
mana beliau tidak bertawassul kepada Nabi sebaliknya mencari Abbas bin Abdul
Muthalib. Dan beliau sendiri yang membuat permisalan dan menyebut bahawa “dulu
ketika masih ada Nabi, kami bertawassul dengan Nabi, tetapi sekarang apabila
Nabi telah tiada, kami bertawassul dengan Abbas.”
Itu gambaran umum dan ringkas
tentang tawassul. Maka dianjurkan untuk kita bertawassul dengan ketiga-tiga
perkara yang jelas disyariatkan berdalilkan fakta-fakta dan hadis-hadis yang
sahih. Adapun selainnya adalah terlarang.
Wallaahua’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman
berikut:
Share this: